Khamis, 14 Ogos 2008

16 Terbaik.....

Chu Sian Layak Ke Pusingan Ketiga Pertandingan Individu

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 13 Ogos (Bernama) -- Pemanah Malaysia Cheng Chu Sian yang gagal menunjukkan persembahan terbaiknya pada pertandingan berpasukan memanah Sukan Olimpik, hari ini bangkit semula apabila tersenarai 16 terbaik pada pertandingan individu untuk layak ke pusingan ketiga.

Bagaimanapun dua lagi pemanah Malaysia Wal Khalmizam Abd Aziz dan Muhd Marbawi Sulaiman, masing-masing ditewaskan dengan satu mata pada pusingan pertama.

Chu Sian memulakan pertandingan dengan menewaskan pemain Australia Matthew Gray 109-101 sebelum menewaskan Matti Hatava dari Finland 110-103 pada pusingan kedua persaingan individu yang ditentukan dengan 12 anak panah.

Bagaimanapun, Chu Sian akan menghadapi laluan sukar Jumaat ini apabila berhadapan Lee Chang Hwan, dari Korea Selatan pemenang pingat emas yang memegang rekod Olimpik.

Pemenang perlawanan itu akan layak ke suku akhir.

Lee yang menunjukkan permainan cemerlang, hampir memungut mata penuh apabila memperoleh 117 daripada 120 mata menewaskan Yusuf Goktug dari Turki untuk memasuki pusingan ketiga, sekaligus mencipta rekod Olimpik. Rekod Olimpik 115 mata yang dibuat di Atlanta juga dipecahkan pencabar dari Poland Jacek Proc yang memungut 116 mata.

Wan Khalmizam tewas kepada Alexandru Bodnar dari Romania 105-106 manakala pemanah Taiwan Chen Szu Yuan menewaskan Muhd Marbawi 107-106.

Wan Khalmizam, pelajar komunikasi massa Universiti Putra Malaysia berusia 21 tahun adalah yang terbaik dalam trio Malaysia apabila menduduki ranking kelima. Beliau memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 674 mata pada pertandingan suku akhir berpasukan.

Bergandingan dengan Chu Sian dan Muhd Marbawi, pasukan itu mencatat rekod baru Malaysia dengan catatan 1,993 di sini.

Terdahulu jurulatih kebangsaan Lee Jae Hyung berkata adalah satu pencapaian jika pemanah Malaysia berjaya tersenarai 16 terbaik kerana ia adalah lapangan antarabangsa.

-- BERNAMA