Sabtu, 16 Ogos 2008

Walau kecundang, tetap boleh dibanggakan...

Chu Sian Kejutkan Pemegang Rekod Olimpik Untuk Ke Suku Akhir

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 15 Ogos (Bernama) -- Pemanah negara Cheng Chu Sian mengejutkan pemegang rekod Olimpik, Lee Chang Hwan dari Korea Selatan, untuk menempah tiket ke suku akhir hari ini tetapi kemudiannya dikecewakan oleh Bair Badenov dari Rusia 109-104.

Kejayaan pemanah berusia 22 tahun dari Pulau Pinang itu merupakan satu pencapaian membanggakan kerana ini adalah hanya kali kedua Malaysia menyertai acara itu di peringkat Olimpik dan yang pertama buat Cheng.

Dalam suku akhir, Cheng bersaing rapat dengan Badenov dalam tiga panahan pertama tetapi gagal mengekalkan rentaknya sehingga ke penamat.

"Saya membuat kesilapan dan dua kali mengutip hanya tujuh mata. Sukar nak dihuraikan kenapa ini berlaku," kata Cheng yang membuat kejutan pagi tadi apabila menundukkan Lee menerusi dua panahan tambahan selepas mereka terikat 105-105.

Lee, anggota pasukan Korea Selatan yang memenangi emas acara berpasukan, mencatat rekod 117 dalam pusingan pertama dua hari lepas.

-- BERNAMA