Rabu, 6 Januari 2010

A.L.L.A.H




Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).

Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

  • Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.
  • Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.
  • Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya.
  • Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: “Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah.
  • Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi dalam masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu dengan cara menyeru dan merintih pemohonan darinya. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang-orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu.
  • Jika akidah jenerasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya’kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.
  • Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Jenerasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.

dipetik dari http://drmaza.com/home/?p=226